Sejarah Bai'ah Dalam Islam

Bai’ah ialah perjanjian antara pemimpin dengan rakyat untuk taat dan seorang rakyat yang member bai’ah sebenarnya berjanji kepada pemimpinnya untuk menyerahkan pendapat kepada pemimpinnya dalam urusan dirinya sendiri dan urusan orang Islam.
 
     Bai’ah pemimpin (bai’ah al-umara’) bermaksud berbai’ah untuk menguatkan dasar dengar dan taat. Sebagaimana diriwayatkan oleh Ubadah yang bermaksud: “Kami memberi bai’ah kepada Rasulullah s.a.w untuk dengar dan taat sama ada dalam kesusahan atau kesenangan, suka atau benci, mendahului Baginda s.a.w daripada diri-diri kami dan tidak membantah arahan, ahlinya. Rasulullah s.a.w bersabda, “Kecuali kamu melihat kufur yang nyata dan kamu mempunyai dalil daripada Allah dalam perkara tersebut.” ( Hadis muttafaqqun alaih)
 
      Orang yang memegang jawatan (menteri atau exco) termasuk dalam golongan maka mereka berbai’ah dengan perkataan dan berjabat tangan jika mereka berada ditempat pelantikan. Jika mereka tidak berada di situ, mereka perlu berbai’ah melalui perkataan dan persaksian.
     
Sirah Rasulullah s.a.w telah menunjukkan contoh bagaimana cara baginda s.a.w melakukan bai’ah yang pertama. Rasulullah s.a.w sebelum berlakunya hijrah dan tertubuhnya sebuah kerajaan Islam di Madinah telah melakukan bai’ah dengan beberapa orang penduduk Yastrib(Madinah) agar agama Islam dan keadilan dapat dipelihara. Mereka telah bertemu baginda s.a.w di sebuah tempat dan membuat perjanjian Bai’ah Aqabah Pertama.
 
 Intipati dalam Bai’ah pertama ialah:
Tidak menyekutukan Allah.
Tidak mencuri.
Tidak berzina.
Tidak membunuh anak-anak sendiri.
Tidak mengumpat.
Tidak memfitnah.
 
Rasulullah s.a.w telah melantik seorang pemantau agar mereka yang berbai’ah ini dapat melaksanakan tugas dengan sempurna dan terkawal. Selepas selesai bai’ah dan musim haji tahun ke-12 kenabian bersamaan 621 ( M ). Nabi Muhammad s.a.w telah mengutuskan seorang duta atau wakil untuk pulang bersama-sama penduduk Yastrib ke tanah air mereka. Duta yang dilantik untuk menjalankan tugas mengiringi bersama mereka ialah Mus’ab bin Umair al-Abdariy r.a. Beliau berasal daripada keluarga jutawan. Beliau sanggup meninggalkan kehidupan mewah demi ajaran Islam.
Beliau ditugaskan untuk menyempurnakan misi ke Yastrib. 
 
Dalam misi tersebut beliau ditugaskan untuk menjaga lima perkara utama, iaitu:
Mengajar orang Islam tentang syariat Islam.
Memperdalamkan kefahaman mereka terhadap ajaran Islam.
Menyebarkan Islam kepada mereka yang masih dalam kesyirikan.
Mengajar membaca al-Quran.
Mengajar tata cara solat.
 
Ba’ah Aqabah
Mus’ab bin Umair menyambut arahan baginda s.a.w tanpa bantahan dan menerima amanah tersebut. Beliau bersegera menunaikan tugasnya mengikut rombongan bai’ah aqabah pertama kembali ke Yastrib. hal ini menggambarkan baginda s.a.w mempunyai perancangan yang rapi agar tercapainya matlamat dan mereka yang berbai’ah menjalankan tugas dengan baik.
Apabila matlamat yang pertama berjaya rakyat Madinah yang mula faham betapa agama Islam membawa keadilan dalam masyarakat mereka memerlukan seorang pemimpin untuk menjaga keamanan. Untuk menjaga keamanan dan keadilan rakyat mereka perlu melakukan bai’ah kepada pemimpin yang akan menerajui kepentingan mereka. 
 
Perjanjian bai’ah Aqabah kedua, mereka terus bersiap sedia untuk mengikat janji satu perjanjian keagamaan dan ketenteraan. Sebelum dimulakan sesi perjanjian, bapa saudara baginda s.a.w memulakan bicara dan menerangkan betapa beratnya  tanggungjawab apabila bersetuju untuk mengikat perjanjian tersebut. Abbas telah mengungkapkan kepada mereka, “ Hai orang Khazraj ( panggilan orang Arab kepada Ansar sama ada Aus atau Khazraj ), sesungguhnya Muhammad berasal dari kalangan kami seperti kamu semua maklum. Kami telah mempertahankannya daripada kaum kami yang sama pegangan dengan kami. Dia berada dalam kemuliaan dalam kalangan kaumnya dan dipertahankan di negerinya. Akan tetapi dia tetap hendak memilih untuk sama-sama dengan kamu. Kalau kamu semua memang benar hendak menunaikan apa yang diajaknya kepada kamu dan kamu benar sanggup mempertahankannya daripada mereka yang menentangnya, maka terserahlah kepada kamu untuk memikul tanggungjawab tersebut. Jika kamu bercadang untuk menyerahkan Muhammad dan tidak menolongnya setelah dia keluar bersama-sama kamu, maka sekarang juga sila tinggalkannya kerana dia berada dalam kemuliaan dan dipertahankan dalam negerinya.” 
 
    Selepas ucapan Abbas, Ka’ab berkata, “ Kami telah mendengar apa yang kamu katakan. Oleh itu, silalah berbicara wahai rasulullah, dan pilihlah untuk dirimu dan Tuhanmu apa yang engkau suka.” Jabir pun berkata: “ Wahai Rasulullah atas dasar apakah kami akan membai’ahmu?” Kemudian
 
Rasulullah s.a.w pun menyampaikan butir-butir antaranya ialah:
Dengar dan patuh semasa rajin dan malas
Sanggup mengeluarkan belanja semasa susah dan senang
Menyuruh melakukan kebaikan dan melarang kemungkaran
Menegakkan tanggungjawab agama Allah tanpa menghiraukan celaan orang yang mencela
Menolong saya apabila saya datang kepada kamu dan mempertahankan saya sebagaimana kamu mempertahankan diri, isteri dan anak pinak kamu. Bagi kamu semua balasannya syurga
Lalu al-Barra’ bin Ma’rur memegang tangan baginda s.a.w seraya berkata, “  Demi yang mengutuskan kamu sebagaimana kami mempertahankan belakang tubuh kami.  Sudilah menerima bai’ah kami ya rasulullah. Demi Allah, kami orang yang mahir berperang serta mempunyai daerah tersendiri yang telah kami warisi dari orang tua kami.”  Ketika al-Barra’ sedang bercakap, Abu al-Haitam mencelah dengan berkata, “ Ya rasulullah, sesungguhnya antara kami dengan orang Yahudi ada perjanjian, jika kami memutuskan hubungan dengan mereka kemudian Allah memenangkan kamu, maka kamu akan balik kepada kaummu meninggalkan kami?” 
 
 Baginda s.a.w tersenyum mendengar apa yang diungkapkan oleh Abu al-Haitham, lalu baginda s.a.w menjawab sambil senyum, “ Bahkan darah tetap darah, binasa tetap binasa, aku dari kalangan kamu dan kamu dari ku, aku akan memerangi sesiapa yang kamu perangi dan aku akan beri keamanan kepada sesiapa yang kamu selamatkan.”
 
Teladani Sirah   
 Sirah Rasulullah tersebut sebagai panduan kepada mereka yang dilantik mengurus hal ehwal umat Islam. Apabila dilantik pemimpin yang baharu maka anggota yang terlibat hendaklah memberikan bai’ah taat setia. Sebagai contoh bagaimana pemilihan pemimpin yang dilakukan oleh sahabat selepas kematian Umar r.a. Sebelum meninggal Umar telah mewasiatkan enam nama untuk dipilih menjadi penggantinya. Umar r.a. menamakan Ali, Uthman, al-zubair, Talhah, Saad dan Abdul Rahman. Selepas pengebumian Umar ra.a., Abdul Rahman berkata: “Jadikan bilangan enam kepada bertiga sahaja.” Al-Zubair berkata: “ Aku menyerahkan hakku kepada Ali.” Kemudian Talhah pula berkata: “Aku menyerahkan hakku kepada Uthman.” selepas itu Saad pula berkata: “Aku menyerahkan hakku kepada Abdul Rahman.”  Maka Abdul Rahman berkata: “Siapakah antara kamu berdua yang sanggup melepaskan haknya dan akan aku kembalikan kepadanya semula? Dan Allah akan memeliharanya. Dan begitulah Islam hanya memilih yang paling baik pada dirinya.” Maka terdiam Uthman dan Ali. Dalam suasana tenang Abdul Rahman pun bertanya kepada semua yang hadir: “Adakah kamu sanggup menyerahkan keputusannya kepadaku dan aku berjanji tidak akan mengetepikan calon yang paling baik antara kamu? Mereka semua menjawab: “Ya”. 
Lalu Abdul Rahman memulakan pemilihan dengan memegang tangan Ali lalu berkata: “Engkau mempunyai hubungan keluarga dengan Rasulullah s.a.w dan lama memeluk agama Islam yang kamu sendiri tahu tempohnya. Demi Allah, jika aku melantik kamu, sudah tentu kamu akan berlaku adil. akan tetapi jika aku melantik Uthman, sudah tentu kamu akan patuh dan taat.” Kemudian dia pergi ke arah Uthman dan mengingatkan perkara yang sama. Apabila selesai mengambil janji mereka,Abdul Rahman berkata: “Angkat tanganmu, wahai Uthman, dn dia seterusnya memberikan Bai’ah kepada Uthman. Hal ini disusuli oleh Ali seterusnya semua yang hadir masuk dan memberikan bai’ah kepada Uthman.” 
 
Pilih yang berilmu
Oleh itu, para pemimpin perlu sedar mereka hendaklah memilih calon yang terbaik untuk membantunya dalam melancarkan pentadbiran negara. Nama-nama perlu dikemukakan kepada rakyat untuk membuat pemilihan kemudian baharu dilakukan bai’ah taat setia. Jika calon yang dipilih agak lemah dan itulah calon yang ada. Apabila dilantik dan diberikan amanah maka calon tersebut hendaklah cuba sedaya upaya untuk melaksanakan tugasnya. Seorang pemimpin perlu meletakkan barisan kanannya sesuai dengan kepakaran dan kebolehan orang tersebut.  Jika zamannya kemunculan bidaah dan kekurangan ilmu dalam kalangan masyarakat serta wujud keamanan dalam masyarakat, hendaklah memilih orang yang paling berilmu. Adapun apabila berlaku serangan musuh serta kemunculan masalah yang mendatangkan kerosakan dan pemberontakan, pada ketika itu hendaklah memilih orang yang paling berani. Hal yang demikian ini penting agar orang dipilih tidak lari daripada perjuangan, bukannya pilih kerana kawan. Sekiranya dipilih daripada awal calon dan dikaji latar belakang dengan baik maka mereka akan melakukan bai’ah dengan baik kepada kepimpinan, dan tidak akan timbul sumpah atau penambahan perkara yang lain dalam bai’ah agar orang tersebut tidak curang kepada kepimpinan.
 
 Memilih calon kepimpinan bukan hanya dilihat aspek pendidikan tinggi malah perlu diambil perhatian tahap kepimpinan dan kecekapan dalam mengurus hal ehwal manusia. Hal yang sedemikian ini telah diajukan persoalan kepada Syeikh Soleh al-Uthaimin, lalu beliau menjawab “Dia harus memilih orang yang paling tepat (di antara yang ada). jika saat itu dia memilih orang yang paling tepat dan sesuai dengan keadaan manusia, tetapi setelah itu terungkap bahawa sebenarnya orang tersebut tidak sesuai, dia wajib mencegahnya. Jika dia memberikan tugas dan jabatan kepada seorang yang telah bergelar doktor, misalnya dalam bidang fiqh, kemudian ternyata orang tersebut tidak menguasai ilmu fiqih yang cukup untuk mengembang tugas tersebut, dalam hal ini kami katakana, ‘Kadang-kadang gelar ilmiah itu dapat diperoleh dengan cara yang tidak sah.’ Hal ini tidak boleh membuatnya tetap menduduki wilayah kekuasaan di tengah manusia. bahkan orang yang seperti ini harus diganti dengan yang baru. gelar ilmiah dalam ijazah sekarang ini bukan satu-satunya ukuran seseorang. banyak orang yang tidak mempunyai ijazah, jika berdiri bersama orang yang memiliki ijazah, orang yang ijazah tidak boleh menandinginya.”
   
Jika pemimpin tidak mampu untuk menilai orang yang berijazah dan terpaksa menjadikan hal ini sebagai asas untuk memilih pemimpin, jawab Syeikh Soleh al-Uthaimin, “Dalam hal ini dimaafkan. Inilah yang mampu anda lakukan. Akan tetapi, jika di kemudian hari terungkap bahawa orang ini tidak cekap, anda harus menukarnya. Bahkan jika rang ini memberikan hujahnya untuk mempertahankan jawatannya kepada anda,’saya mempunyai ijazah sejak 20 tahun yang lalu,’ maka kami katakana, ‘ Walaupun anda mempunyai ijazah 20 tahun yang lalu. Selama anda memegang jawatan ini jelas gagal, kami tidak boleh menyerahkan urusan kaum Muslimin kepada anda, baik bidang kekuasaan, pengajaran, mahupun bidang lain.”
 
   Perlu amanah!
  Asas yang penting dalam memilih  sebagaimana firman Allah SWT: “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang bekerja adalah yang kuat lagi jujur.” (Surah al-Qasas:26) 
Berdasarkan ayat tersebut orang hendak dipilih hendaklah mempunyai kemampuan dan amanah. Jika hal ini dapat dipraktikkan tidak akan timbul isu bai’ah hingga mempertaruhkan perkara yang tidak sepatutnya.
 
       Sekarang yang perlu diberi perhatian oleh orang yang dipilih oleh rakyat menerajui amanah negeri atau Negara ialah keadilan dan keamanan. Jika hal ini tidak ditegakkan maka pemimpin tersebut merupakan seorang yang lemah. 
 
      Renungilah beberapa hadis sebagai peringatan kepada mereka yang diamanahkan mengurus hal ehwal rakyat. Sabda Rasulullah s.a.w: “Tiada dalam kalangan hamba yang diberikan kepimpinan untuk memimpin rakyatnya dan dia mati dalam keadaan menipu rakyat di bawah pimpinannya,melainkan Allah mengharamkan ke atasnya syurga.” (Hadis Muttafaq alaih)
 
Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesiapa yang diberikan tugas memimpin sesuatu urusan kaum Muslimin oleh Allah SWT tetapi dia mengelak daripada membantu mereka, tidak menunaikan hajat mereka serta tidak menghapuskan kemiskinan. maka Allah tidak akan menunaikan hajat keperluannya serta tidak membantunya menghadapi kemiskinan.” ( Hadis riwayat Abu Dawud, al-hakim, al-Baihaqi dan al-Thabarani)
 
Sabda Rasulullah s.a.w: “Tidaklah seorang pemimpin yang menjaga urusan umat Islam, kemudian tidak membela rakyatnya dengan bersungguh-sungguh dan juga tidak bersikap telus membimbing mereka melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama rakyatnya.’ (Hadis Riwayat Muslim)
 
Ingatlah Rasulullah s.a.w telah berdoa : “Ya Allah Ya Tuhanku, sesiapa yang dipertanggungjawab mengendalikan urusan umatku kemudian dia menyusahkan mereka, maka Engkau berikanlah kesusahan kepada dia. Sesiapa yang dipertanggungjawab mengendalikan urusan umatku lalu dia berlemah lembut dengan mereka maka Engkau berlemah lembutlah terhadap dia.” (Hadis riwayat Muslim)
 
Semoga semua ini menjadi peringatan dalam hal berbai’ah dalam kepimpinan dan organisasi. Walaupun bai’ah sudah dibuat jika amanah tidak dilaksanakan tidak perlu untuk mendebatkan isu bai’ah. Jika suka caci memaki sesama pemimpin Islam maka ini menggambarkan tidak ada keikhlasan dalam menerajui kepimpinan dan rakyat. Akhir cacatan ini jauhilah politik bersifat kotor kedustaan, tipu daya dan penyesatan. 

Comments

Popular posts from this blog

Apa Itu Setia Sahabat Negeri Sembilan?

Ertian Bai'ah Dalam Islam